Sunday, July 19, 2009

Mama

Cerpen Mama mengisahkan tentang perjuangan hidup seorang wanita melawan penyakit berbahaya yang tidak boleh dirawat lagi. Tidak ada seorang pun ahli keluarga Mama yang mengetahui penyakit yang ditanggung oleh Mama. Abah, anak-anak Mama: Akhbar, Mokhtar dan Bakhtiar tidak pernah mengetahui kesakitan yang Mama tanggung. Mama cukup teguh menyimpan rahsia penyakitnya. Hanya Dr. Safuan dan Cik Puan Mona, majikan tempat Mama bekerja, yang mengetahui penyakit Mama. Itupun secara kebetulan, penyakit Mama mula menyerang ketika Mama sedang bekerja di rumah majikannya. Dr. Safuan yang memeriksa Mama, memberitahu isterinya bahawa Mama hanya berpeluang untuk hidup tiga bulan sahaja lagi. Mama mendengar semua perbualan Dr. Safuan dengan Cik Puan Mona secara tidak sengaja ketika Mama berpatah balik ke bilik rawatan untuk mengambil dompet Mama yang tertinggal. Mama diberi cuti dua minggu oleh majikannya untuk berehat di rumah. Dr. Safuan berpesan kepada Mama supaya jangan lakukan banyak kerja berat. Tapi Mama melakukan perkara sebaliknya. Selepas mengetahui keadaan penyakitnya Mama semakin rajin sembahyang dan berzikir setiap selepas solat dan tidak lupa untuk berdoa. Dia mahu hidup dan mati dalam aman.

Sepanjang bercuti dua minggu, Mama semakin sibuk menguruskan rumah tangga, jahit pakaian koyak dan menyediakan makanan untuk dijaja oleh suami dan anak-anak. Mama gembira dapat berbakti kepada suami dan anak-anak. Setiap hari Mama menyambut kepulangan suami dan anak-anak dengan wajah yang ceria. Mama teringat cerita pak guru di surau, isteri yang solehah ialah isteri yang selalu menyenangkan hati suaminya dalam apa keadaan sekalipun. Pada akhir minggu kedua cuti, dada Mama sakit lagi semasa membasuh pakaian di rumah. Mama menelan pil yang dibekalkan oleh Dr. Safuan. Hati Mama tidak putus berdoa supaya dimatikan dalam iman. Sewaktu azan Zohor dilaungkan di surau Kampung Lembah Jaya Murni, Mama sudah bersedia di tikar sembahyang. Doa Mama dikabulkan tuhan kerana Mama meninggal dunia ketika sujud.


Awatif

No comments:

Post a Comment